PUSAT PENDIDIKAN ASAS DAN LANJUTAN UMT

Universiti Malaysia Terengganu

[:en]PPAL DAN YIT 2015 “Inovasi Guru KAFA Terengganu (I-KAFA)”[:]

[:en]Dalam usaha memperkenalkan perkhidmatan serta kepakaran yang ada, Pusat Pendidikan Asas dan Liberal telah bergerak satu langkah dalam pelaksanaan program pemindahan ilmu kepada guru-guru KAFA dengan kerjasama pihak Yayasan Islam Terengganu. Matlamat program ini adalah untuk menerapkan inovasi dalam sistem pengajaran dan pembelajaran kelas-kelas  KAFA seluruh Negeri Terengganu.

 

Sepanjang tahun 2015 sebanyak 3 siri telah berjaya dilaksanakan. Siri pertama diadakan pada 14 April 2015 yang melibatkan penyertaan seramai 250 orang guru KAFA dari Daerah Kuala Nerus, siri kedua pula diadakan pada 9 Jun 2015 yang melibatkan penyertaan seramai 250 orang guru KAFA dari Daerah Setiu dan siri ketiga bagi tahun 2015 diadakan pada 17 November 2015 dengan penglibatan seramai 300 orang guru KAFA dari Daerah Kuala Terengganu.

 

Secara lazimnya, guru-guru KAFA adalah dilantik dalam kalangan pemegang SPM bidang agama dan berkhidmat mengikut tempoh kontrak yang ditetapkan. Rata-rata kumpulan guru-guru ini tidak mendapat pendedahan khusus berkaitan dengan teknik Pengajaran dan Pembelajaran di sekolah. Menurut Pengarah Program I-KAFA, Dr. Firdaus Khairi bin Abdul Kadir, Perkhidmatan yang diberikan oleh Pusat pendidikan Asas dan Liberal ini merupakan salah satu  tanggungjawab sosial di mana program ini  mampu menerapkan teknik pengajaran menerusi kaedah pedagogi yang menyeluruh agar guru-guru KAFA dapat menyampaikan ilmu secara lebih sistematik. Program ini juga sedikit sebanyak mampu membantu mereka menerapkan nilai-nilai murni agama dengan pendekatan yang lebih tersusun serta bersifat terkini.

 

Program ini dibahagikan kepada 4 slot iaitu Sahsiah Guru, Pedagogi, Perancangan Pengajaran dan Pembelajaran serta Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran. Program ini telah dikendalikan oleh pensyarah pakar PPAL iaitu Prof. Madya Dr. Asyraf bin Hj. Abdul Rahman, Dr. Firdaus Khairi bin Abdul Kadir, Prof Madya Dr.Noor Rohana binti Mansor, Dr. Samsiah binti Abdul Hamid, Dr. Hailan bin Salamun,  Dr. Hamdan bin Aziz dan Tuan Haji Mohd Yusof bin Mohamad dan juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Ustaz Hj. Muhammad Ramli bin Nuh. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Ghazali Taib, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas pada 14 April 2015. Pada sesi ketiga baru-baru ini, ucaptama program telah disampaikan oleh Y. Bhg. Dato’ Dr. Hj Abd Latiff Awang, Ketua Kluster Pusat Transformasi Terengganu Baharu (PUTRA). Dalam ucapan, beliau sangat menekankan pentingnya berkata Guru-guru KAFA komited dalam mendidik selain menerapkan elemen-elemen yang bersesuaian. Janganlah pula mereka menerapkan elemen-elemen yang boleh merencatkan proses pembelajaran dalam membentuk sahsiah murni para pelajar.

 

Program ini telah mendapat maklum balas positif dari Guru-guru KAFA yang terlibat di mana mereka telah mendapat pendedahan aspek inovasi dalam pengajaran yang tidak pernah diperolehi sebelum ini. Harapan mereka agar program ini dapat diteruskan dengan pelaksanaan yang lebih intensif. Melihat kepada keberkesanan program ini, ahli Lembaga Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Ustaz Hj. Muhammad Ramli bin Nuh berhasrat untuk meneruskan kerjasama ini sehingga penyampaian ilmu ini dapat disebarluaskan kepada semua guru-guru KAFA seluruh negeri Terengganu. Ujar beliau lagi dalam perbincangan pelaksanaan guru KAFA, “Saya berharap pihak Pusat Pendidikan Asas dan Liberal dapat menghasilkan modul-modul baharu kelas KAFA sebagai rujukan kepada guru-guru KAFA di Negeri Terengganu khususnya”.

 

Pihak Yayasan Islam Terengganu amat menghargai usaha UMT dalam menyalurkan kepakaran dalam membantu guru-guru KAFA ini khususnya dalam aspek pendekatan dalam kaedah pengajaran. Susulan dari itu, satu jawatankuasa di peringkat negeri bakal diwujudkan dalam usaha membina modul pengajaran guru-guru Kafa Negeri Terengganu yang turut akan dianggotai oleh beberapa orang penceramah pakar dari PPAL.[:]